PUTRAJAYA: Pelanggan akan dipantau menerusi aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki premis peruncitan bagi memastikan peraturan had masa dua jam membeli-belah dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan secara rawak akan dibuat di premis yang kerap dikunjungi bagi memastikan pelanggan mematuhi tempoh masa ditetapkan.
“Kementerian ada kira-kira 2,200 penguat kuasa di seluruh negara, jadi kita akan buat pemeriksaan secara rawak,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya hari ini.
Semalam, Alexander dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam.
Jelas beliau, had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan dalam satu-satu masa juga diwajibkan mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.
Dalam pada itu, Alexander berkata, perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan tidak dibenarkan kerana belum ada prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan premis makanan menyediakan perkhidmatan seumpama itu.
“Jadi setakat ini selagi belum ada keputusan atau SOP baharu tentang ini (sediakan perkhidmatan ‘dine-in’ di dalam kenderaan) memang tidak bolehlah buat masa sekarang,” katanya.










