Pelajar beraya di kampus terima juadah raya Yayasan UMP - Utusan Malaysia

Pelajar beraya di kampus terima juadah raya Yayasan UMP

NASRUL Salim Pakheri (kiri) menyampaikan agihan juadah raya sumbangan Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar di UMP Kampus Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemeriahan raya tetap dirasai sebahagian pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) biarpun tidak pulang beraya di kampung.

Seramai 1,000 pelajar di kedua-dua kampus UMP Pekan dan Gambang menerima pek juadah raya mengandungi nasi impit, kuah kacang, lontong, lemang, rendang, nasi minyak, air kotak dan buah-buahan.

Bagi Anang Rustanto Suwito dari Kolej Kejuruteraan Jabatan Kejuruteraan Awam UMP berkata, pek juadah raya pada pagi raya sumbangan Yayasan UMP mengubat rindu terhadap masakan keluarganya.

Beliau yang berasal dari Johor Bahru mendapat nasihat daripada ibu bapa untuk tinggal di kampus memandangkan persekitaran yang lebih selamat pada ketika pandemik Covid-19.

“Terima kasih kepada Yayasan UMP kerana menyediakan juadah Hari Raya istimewa. Sedikit sebanyak terubat rindu untuk beraya bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.

Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sahsiah dan Modal Insan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd. Amirul Ikhmal Yoda berkata, dia bersama rakan membantu menguruskan agihan sempena hari raya.

Beliau turut menasihatkan pelajar yang pulang ke kampung agar memanfaatkan masa bersama keluarga, jaga diri semasa pulang daripada kampus dan jangan meletakkan diri mereka dalam keadaan yang terdedah dengan jangkitan demi memastikan pelajar pulang ke kampus dengan keadaan selamat.

Dalam pada itu, Pengerusi Institusi Kefeloan UMP (INSFEL), Nasrul Salim Pakheri berkata, agihan juadah raya sumbangan Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar berlangsung dengan lancar.

“Pelajar di kampus termasuk pelajar antarabangsa dari negara Yemen, Bangladesh, Pakistan, India dan China datang ke tempat agihan. Proses pengagihan berlaku dengan pengamalan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) bermula dengan pendaftaran MySejahtera di pintu masuk kolej residensi, saringan suhu badan dan seterusnya agihan makanan,“ katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Rosli Hainin turut hadir menyampaikan agihan raya kepada pelajar di UMP Pekan.

Seramai 1,200 pelajar tidak pulang ke kampung halaman dan 2,419 pelajar pulang membabitkan seramai 1231 pulang dengan kenderaan persendirian, 660 pulang bersama ibu bapa dan 517 menaiki kenderaan universiti bermula 7 Mei hingga 11 Mei lalu.

Mereka yang merupakan pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan ini dijangka kembali ke kampus mulai 15 hingga 20 Mei depan bagi menyambung sesi pengajian pada semester ini.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.