Pas selar muzik video Dolla - Utusan Malaysia

Pas selar muzik video Dolla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Ulamak Pas Pusat menyelar tindakan kumpulan muzik, Dolla yang mengenengahkan imej berpakaian seksi dalam video muzik khas sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd. Nor Hamzah berkata, perlakuan yang dilakukan oleh salah seorang anggota kumpulan tersebut telah mencemar kemeriahan sambutan kemenangan umat Islam di bulan Syawal setelah sebulan di bulan Ramadan.

“Lagu raya dengan pembawaan imej seksi seperti ini sama sekali tidak akan menyumbang dan menggalakkan rakyat menjadi lebih baik, bermoral dan berdaya saing. Hal ini sebaliknya hanya akan mencemarkan maruah diri dan sekali gus mengheret masyarakat tenggelam dalam gelora nafsu.

“Perkara yang semakin menjadi-jadi ini saban hari dilihat sengaja diadakan bagi meneruskan agenda normalisasi maksiat dalam kalangan masyarakat, sama ada si pelakunya sedar atau pun tidak,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Nor juga menganggap ia turut menjejaskan imej Islam sebagai agama rasmi persekutuan serta merobek kesopanan dan kesusilaan adat ketimuran yang menjadi kebanggaan negara.

“Budaya buruk yang menjadi ikutan-ikutan lagi berkiblatkan negara luar ini telah pun diberi amaran keras oleh Rasulullah.

“Dewan Ulamak Pas Pusat mengharapkan campur tangan segera daripada pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membanteras salah laku seperti ini dengan kenyataan bantahan secara tegas dan rasmi,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu mengambil tindakan segera dengan menyekat video ini daripada tular lebih luas ke dalam media sosial.

“Garis panduan penyiaran video yang berteraskan syariat dan kesantunan harus digagaskan segera bagi mengekang perkara sebegini berulang lagi.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengambil inisiatif ke atas kumpulan artis yang terlibat dengan mewujudkan program-program yang bersifat pendidikan dan bimbingan kepada golongan ini dalam konteks menjuruskan mereka ke arah hiburan yang dibenarkan,” katanya.

Justeru, Mohd. menyeru seluruh umat Islam untuk bersama-sama membantah video muzik lagu raya tersebut.

“Hal ini bukan bertujuan memenuhi mana-mana kepentingan politik, bahkan yang lebih besar daripada itu iaitu melibatkan maruah dan harga diri umat Islam yang ternoda.

“Kesimpulannya, Dewan Ulamak Pas Pusat memandang berat akan perlakuan yang tidak bermoral dan hiburan melampaui batas seperti ini. Anasir ini seharusnya dikekang sedari awal lagi agar tidak menjadi satu perkara yang normal dalam kalangan masyarakat pada masa-masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya