Panjut buluh Tok Pa lumayan - Utusan Malaysia

Panjut buluh Tok Pa lumayan

MUDZAFAR Irfan (kanan) menunjukkan panjut buluh yang dihasilkan disamping pengarah terkenal, Mamat Khalid di Ipoh baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Siapa sangka kerja tangan menghasilkan pelita panjut yang mulanya dilakukan secara suka-suka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kini menjadi sumber pendapatan lumayan buat anak muda, Mudzafar Irfan, 23, yang kini bergelar usahawan pelita buluh.

Menjadikan rumah pusaka keluarga di Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat di sini sebagai bengkel, pemuda lulusan Diploma Teknologi Pembuatan Kolej Vokasional (KV) Temerloh, Pahang ini tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan daripada pelanggan sejak awal bulan puasa.

Dia menguasai kemahiran menghasilkan panjut buluh ini hasil belajar daripada orang-orang lama di kampung dan diubah suai sedikit agar proses menyiapkan panjut lebih cepat.

Menurut Mudzafar, dia mula serius menghasilkan panjut buluh dan memasarkannya menerusi pelbagai platform media digital menggunakan nama Panjut Buluh Tok Pa itu sebagai pendapatan untuk menyara datuk dan opah yang uzur.

Katanya, permintaan daripada pelanggan sangat menggalakkan dan sehingga kini kira-kira 700 batang panjut buluh pelbagai saiz terjual kepada pembeli termasuk di luar Perak khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

“Panjut Buluh Tok Pa ini dibuat menggunakan buluh keras yang bekalannya dibeli daripada penduduk di Kampung Ulu Kuang, Chemor dan ada yang diperoleh daripada masyarakat Orang Asli.

“Kita menghasilkan tiga jenis panjut buluh iaitu dengan empat sumbu hingga 12 sumbu yang dijual pada harga RM18 hingga RM22 sebatang dengan kaki pelita juga menggunakan buluh,” ujarnya semasa ditemui baru-baru ini.

Bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah memasang panjut buluh dapat menimbulkan keceriaan menyambut Aidilfitri sepertimana di kampung halaman pada masa dahulu.

Selain Mudzafar, perniagaan Panjut Buluh Tok Pa ini turut dibantu tiga lagi rakan yang juga lepasan Pusat Giat Mara untuk menghasilkan kira-kira 100 batang panjut sehari.

Kemahiran Mudzafar menghasilkan panjut buluh turut menarik perhatian Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh apabila menempah untuk diedarkan kepada lebih 30 keluarga di Kampung Pengkalan Pegoh bagi menceriakan sambutan Aidilfitri.

Mudzafar yang merupakan penerima Anugerah Perintis Keusahawanan Koperasi 2017 semasa menuntut di KV Temerloh juga menghasilkan lain-lain produk berasaskan buluh serta tempahan pelbagai jenis ketukangan.

Bagi mereka yang ingin menempah panjut buluh boleh menghubungi pemuda ini menerusi WhatsApp ditalian 018-3669450. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya