PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi Covid-19 di negara ini dan di seluruh dunia belum pulih, malah gelombang ketiga yang sedang melanda adalah lebih mencabar.
Dengan perkembangan terbaharu ini, kata beliau, negara sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan.
Oleh itu, beliau menjelaskan, jika tiada tindakan tegas dan drastik diambil dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara, Malaysia boleh terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah.
Ini kerana, menurut beliau, sejak beberapa hari lalu, kes-kes positif Covid-19 di negara ini mencecah lebih 4,000 kes sehari dan mencatatkan trend peningkatan kes mendadak sejak beberapa minggu lalu.
Lebih membimbangkan, kata beliau, terdapat varian-varian baharu Covid-19 yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lain.
“Saya cukup bimbang apabila varian-varian ini telah mula dikesan di negara kita. Penularan varian-varian baharu ini harus disekat.
“Untuk itu kita mengambil satu langkah yang tegas dan drastik bagi memutuskan rantaian jangkitan ini di negara kita. Dijangkakan jumlah kes harian Covid-19 akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” katanya dalam perutusan khas Hari Raya Aidilfitri, malam ini.
Muhyiddin berkata, seluruh sistem kesihatan negara ini juga sedang berada dalam keadaan kritikal pada masa ini akan lumpuh sepertimana yang berlaku di negara lain, pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital -hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit .
Ka beliau, pada masa ini, hospital-hospital di negara ini telah hampir mencapai kapasiti maksima dan katil-katil wad unit rawatan rapi (ICU) semakin penuh.
Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator, tetapi jika kes-kes positif naik mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari.
“Saya meneliti data-data sejak beberapa minggu yang lalu. Kawasan-kawasan yang dahulunya hijau sedikit demi sedikit bertukar menjadi kuning dan kemudian merah.
“Kerajaan pada mulanya mengambil tindakan secara bersasar untuk mengekang penularan virus dalam komuniti. Kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri dan daerah. PKP Diperketatkan (PKPD) juga dilaksanakan di beberapa kawasan.
“Tetapi virus ini menular dengan begitu cepat dan kadar kebolehjangkitan varian-varian baharu ini adalah lebih tinggi. Dalam tempoh beberapa minggu sahaja hampir semua kawasan di negara kita telah bertukar menjadi merah dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik, iaitu penularan di dalam komuniti, dan hampir 80 peratus kes positif yang dikesan tidak mempunyai sebarang gejala,” katanya.
Perdana Menteri berkata, semua pihak harus faham bahawa negara sedang berhadapan dengan virus yang begitu cepat merebak, lebih-lebih lagi dengan mutasi varian sekali gus menunjukkan situasi yang sangat dinamik itu menyebabkan perubahan ke atas PKP seperti PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP dan PKPD juga perlu dilakukan dengan pantas untuk segera mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk.










