IPOH: Golongan muda Melayu di negeri ini dilihat semakin menunjukkan minat untuk menyertai DAP.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, bagaimanapun minat yang ditunjukkan itu tidak sampai menjadi trend atau bertali arus namun golongan muda Melayu semakin memberikan perhatian terhadap parti itu.
Menurutnya, beliau tidak pasti faktor yang mendorong golongan itu mula meminati perjuangan DAP.
“Sebab mereka minat sertai DAP, itu saya tak pasti cuma sekarang mereka tidaklah mengambil sikap bermusuh terhadap DAP seperti dulu.
“Saya rasa keterbukaan dan kesediaan menjatuhkan pentadbiran yang lemah dan disyaki melakukan penyelewengan di Perak menjadi perhatian golongan muda Melayu ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, orang Melayu kini melihat UMNO terpaksa menelan ludah sendiri kerana dulu UMNO menuduh DAP khususnya beliau gila kuasa dan berusaha menjatuhkan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Apa yang berlaku, usaha dan perancangan itu bukan oleh DAP. Ia hanya membantu dengan harapan satu pentadbiran yang lebih baik dapat diwujudkan namun Pas enggan bekerjasama,” katanya.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, walaupun minat yang ditunjukkan oleh orang Melayu semakin baik, namun DAP tidak menjanjikan keistimewaan untuk mereka dalam parti itu.
“Meritokrasi dan kerja keras adalah kunci dalam DAP,” katanya. – UTUSAN ONLINE










