LANGKAWI: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai membunuh diri dalam sebuah kereta di atas bukit, Jalan Bukit Malut, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima maklumat mengenai mayat yang ditemukan di dalam kereta tersebut pada pukul 11.45 pagi.
Menurutnya, mayat lelaki itu ditemukan berada di tempat duduk pemandu dalam sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Polis juga mendapati semua tingkap kereta tersebut ditutup dan pintu kereta dikunci dari dalam.
“Mangsa dipercayai membunuh diri apabila terdapat paip getah disambung daripada ekzos ke dalam kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan keadaan mayat, dipercayai mayat terbabit telah berada di dalam kereta itu melebihi lima hari dan identitinya sedang dikenal pasti.
Selain itu, tambahnya, beberapa barangan peribadi mangsa seperti sebuah komputer riba, telefon bimbit, dan beberapa dokumen ditemukan dalam kereta tersebut
“Mayat tersebut kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di sini untuk bedah siasat,” tambahnya
Menururnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN ONLINE










