Masih ada ponteng puasa makan secara terbuka - Utusan Malaysia

Masih ada ponteng puasa makan secara terbuka

ANGGOTA penguat kuasa JAINJ mengambil tindakan terhadap individu yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan dan minum secara terbuka di sekitar Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Faktor kesihatan dan tidak larat menjadi alasan yang sering digunakan mereka yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana tidak berpuasa di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, seramai 66 individu berusia 20 hingga 50 tahun dikenakan tindakan saman sejak awal Ramadan hingga hari ini.

Katanya, mereka dikesan melakukan perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan apabila makan dan minum secara terbuka di tempat awam di restoran dan warung.

“Setakat ini, sebanyak 66 saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana tidak menghormati Ramadan di seluruh negeri ini.

“Mereka ini dikenakan tindakan saman melakukan perbuatan itu di restoran dan di kopitiam. Alasan yang mereka berikan ketika ditahan ialah tak larat puasa disebabkan penat dan tidak sihat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dzulkafli berkata, mereka yang disaman boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Jelasnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Katanya, individu yang dikenakan tindakan saman ini perlu hadir untuk memberi keterangan di pejabat JAINJ sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Setakat ini, masih belum ada individu yang didakwa di mahkamah. Penguatkuasaan ini akan diteruskan hingga penghujung bulan Ramadan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN