Lemang tiga perisa 'bantu' pemilik butik bangkit semula - Utusan Malaysia

Lemang tiga perisa ‘bantu’ pemilik butik bangkit semula

ZALINA Zakaria menunjukkan lemang persisa pulut hitam, asli dan jagung yang dihasilkan di Kampung Benta, Pohon Buluh, Pasir Mas, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Keputusan drastik pemilik butik pakaian yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mengubah haluan berniaga lemang tiga perisa, berbaloi apabila dia kini tidak menang tangan memenuhi tempahan penggemar juadah tradisi itu.

Zalina Zakaria, 37, yang tidak mempunyai pengalaman dalam pembuatan lemang, berkata, dia pada mulanya sekadar mempromosikan makanan itu kepada kawan-kawan terdekat dan tidak menyangka air tangannya mendapat sambutan luar biasa.

“Kesan buruk penularan Covid-19 menyebabkan perniagaan saya tidak mampu bertahan dan terpaksa tutup butik yang saya usahakan sejak 12 tahun lalu. Kemudian, timbul idea untuk menghasilkan lemang tiga perisa iaitu asli, jagung dan pulut hitam.

“Alhamdulillah, kerja ‘gila’ ini membuahkan hasil sehingga saya berjaya membuka gerai berhampiran Stesen Kereta Api Pasir Mas. Bermula dengan dua kilogram beras pulut, sekarang, jualan lemang saya mencecah 400 batang sehari,” katanya ketika ditemui semalam.

Zalina memberitahu, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dia menerima tempahan untuk menghasilkan lebih 2,000 batang lemang di rumahnya di Kampung Benta, di sini.

Katanya, selain menawarkan tiga perisa, lemang dihasilkannya yang menggunakan daun lerek dan tidak memerlukan pelanggan bersusah payah memotong buluh, sebaliknya, hanya perlu menarik bahagian daun tersebut untuk mengeluarkan isi lemang daripada buluh.

“Aroma dihasilkan daun leret yang merupakan sejenis tanaman hutan pula membuatkan lemang saya menjadi lebih wangi dan sedap dimakan,” ujarnya.

Di samping menjual lemang pada harga RM10 hingga RM15 mengikut saiz buluh,
Zalina turut menjual rendang ayam dan daging tempatan yang dibuat sendiri menggunakan resipi turun temurun keluarga. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya