Lelaki pecah masuk rumah, cederakan warga emas ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki pecah masuk rumah, cederakan warga emas ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki berjaya ditangkap polis dalam tempoh lima jam selepas memecah masuk sebuah rumah dan mencederakan seorang wanita warga emas di Taman Bunga Raya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Sultan Abdullah di sini setelah mendapat maklumat awam.

Katanya, tangkapan ke atas suspek itu membawa kepada penemuan barang yang dicuri iaitu seutas rantai emas dan gelang, sepasang anting-anting emas, wang tunai RM5,000 dan telefon bimbit.

“Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, suspek yang memakai pelitup muka telah memecah masuk rumah mangsa melalui bumbung.

“Kejadian itu disedari mangsa yang berada di bilik tidur setelah dia terdengar bunyi duit siling terjatuh dan melihat sepasang kaki keluar dari arah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, mangsa yang merupakan seorang pesara jururawat itu menjerit meminta tolong namun suspek bertindak memukulnya di kepala dan mengikat mulut wanita itu.

Katanya, suspek yang menyelongkar bilik mangsa telah meminta duit dengan wanita itu kemudiannya menunjukkan beg duit miliknya kepada lelaki terbabit.

“Lelaki itu cuba keluar dari pintu hadapan rumah tetapi tidak berjaya kerana berkunci sebelum melarikan diri melalui atas bumbung dalam bilik pengadu yang dimasukinya,” katanya.

Katanya, kesemua barang yang dicuri bernilai RM8,500 milik mangsa berjaya dirampas namun wanita itu cedera iaitu lebam di bahagian dahi sebelah kiri akibat dipukul suspek.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai 17 rekod lampau dan kini direman lima hari bermula hari ini sehingga Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. –  UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN