Lebih 150,000 pencari kerja berjaya dapat kerja - PM - Utusan Malaysia

Lebih 150,000 pencari kerja berjaya dapat kerja – PM

MUHYIDDIN YASSIN mempengerusikan mesyuarat ketiga NEC yang diadakan secara persidangan video, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyidddin Yassin berkata, inisiatif penempatan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu melalui komitmen pelaburan mengatasi sasaran ditetapkan. 

Perdana Menteri berkata, sehingga 23 April lalu, sebanyak 150,597 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program dilaksanakan kerajaan, iaitu melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat bulan ini dengan sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.

Menurut Perdana Menteri, usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara juga berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dan 76 peratus daripadanya adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir. 

“Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan  mesyuarat ketiga Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang diadakan secara persidangan video, hari ini. 

Muhyiddin berkata, isu dan cabaran pekerjaan dalam sektor tidak formal diambil perhatian iaitu hasil daripada 6,202 program libat urus dijalankan, bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja Gig yang mendapat Perlindungan Sosial dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada tahun 2019 kepada 81,000 orang (2020) dan terkini 142,000 orang (2021).

Kata beliau, Grab Malaysia membentangkan strategi memperkasa ekonomi domestik melalui proses digitalisasi dengan cadangan empat program perintis yang mampu menyediakan lebih 35,000 peluang menjana pendapatan bagi pekerjaan e-hailing, golongan orang kurang upaya (OKU), para peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman (F&B). 

Beliau menjelaskan,  kesukaran golongan OKU dan rentan dalam mendapatkan akses kepada peluang penjanaan pendapatan turut diambil perhatian, justeru Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengkaji langkah-langkah termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisiatif dapat dijalankan segera.

“Mesyuarat juga dimaklumkan Program KerjayaUP yang dilancarkan pada 12 April lalu, khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta. 

“Sehubungan itu, Majlis bersetuju memperluaskan program ini secara lebih agresif dengan sasaran lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya. 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, bagi memantapkan komposisi keahlian NEC supaya lebih inklusif, tiga ahli tetap tambahan mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi dilantik iaitu Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain;  Presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi dan  pengasas bersama GoGet (sebuah platform komuniti untuk pekerja sambilan, pekerja gig dan freelancers), Francesca Chia.

Beliau berkata, fasa peringkat perancangan dan key strategy formulation selesai pada suku pertama tahun ini dan tumpuan kini diberikan kepada langkah pelaksanaan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN