Kluster Aidilfitri perlu jadi iktibar semua pihak - Utusan Malaysia

Kluster Aidilfitri perlu jadi iktibar semua pihak

DR. MOHD. FAZRUL MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kewujudan kluster berkaitan sambutan Aidilfitri perlu dijadikan iktibar kepada pihak yang masih ingin menganjurkan program bersempena Pesta Kaamatan di Sabah hujung minggu ini.

Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Fazrul Mokhtar berkata, semua pihak wajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perayaan seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi mengelakkan penularan virus Covid-19 yang makin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Katanya, meskipun terdapat pihak menyatakan kesediaan untuk mengikuti SOP ditetapkan, sebarang acara melibatkan perhimpunan orang ramai sukar dikawal di samping boleh ‘meledakkan’ lebih banyak jangkitan.

“Tercetusnya kluster akibat sambutan Hari Raya Aidilfitri dan rentas negeri sehingga semalam negara mencatatkan jumlah kes tinggi perlu dijadikan iktibar oleh semua rakyat sama ada secara individu ataupun pihak tertentu dengan tidak menganjurkan sebarang acara perayaan.

“Tidak kiralah walaupun kehadiran membabitkan jumlah kecil, ia tidak bermakna mereka selamat daripada jangkitan virus Covid-19 dan hal ini kerana kita tidak tahu status kesihatan masing-masing kerana kebanyakan kes sejak akhir-akhir ini tidak mempunyai simptom,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pelbagai pihak melahirkan kebimbangan ekoran situasi kes Covid-19 yang berlaku akibat musim perayaan di negara khususnya Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu manakala Pesta Kaamatan di Sabah pula akan disambut Ahad dan Isnin ini manakala sambutan Hari Gawai di Sarawak pula pada 1 dan 2 Jun.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat 12 kluster Covid-19 berkaitan sambutan Aidilfitri yang dikesan setakat ini dengan membabitkan negeri Sabah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Labuan.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Fazrul menjelaskan, semua pihak boleh meraikan perayaan namun dengan norma baharu dan mengikut panduan semasa ditetapkan MKN.

Namun katanya, ia tidak bermakna mereka tidak boleh menyambut setiap perayaan di negara ini sebaliknya dengan skala kecil dan hanya melibatkan ahli keluarga di rumah sama.

“Kita boleh gunakan saluran alternatif seperti dalam talian untuk berkomunikasi dengan ibu bapa dan keluarga lain melibatkan lokasi berbeza, walaupun ia tidak sama seperti sebelum ini namun sambutan dan kemeriahannya boleh dirasai.

“Malah kita perlu mencontohi langkah kerajaan negeri Sarawak yang melakukan lockdown bermula esok sebagai langkah awal untuk mengekang pergerakan penduduk apatah lagi mereka juga sama bakal menyambut Hari Gawai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×