Kes Shahrir pindah Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Kes Shahrir pindah Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak, lapan tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan barisan pembelaan yang diketuai peguam bela, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pada prosiding yang dijalankan secara atas talian hari ini.

Turut serta pada prosiding tersebut ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali dan Natrah Fareha Rahmat.

Sementara itu, peguam bela, Syahrul Syazwan Salehin ketika dihubungi berkata, mahkamah memutuskan untuk memindahkan kes itu bagi membolehkan proses perbicaraan akan menjadi lebih cepat kerana terdapat beberapa isu perlembagaan yang akan dibangkitkan oleh pembelaan.

Selain itu, peguam tersebut menyatakan, peguam Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menghadapi pertuduhan serupa dan kes itu kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanapun, tarikh baharu untuk sebutan dan pengurusan kes masih belum ditetapkan. Kami perlu menunggu notis daripada Mahkamah Tinggi.

“Dalam masa sama, kami juga akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen berhubung keputusan mahkamah hari ini melalui surat,”katanya.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula pada 29 Jun ini.

Mengikut pertuduhan Shahrir, 72, didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya