ALOR SETAR: Seorang kerani wanita di sebuah kedai buku kerugian RM255,250 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan mendakwa mangsa memenangi satu peraduan anjuran sebuah syarikat pengeluar produk makanan dan minuman terkenal pada bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berusia 25 tahun menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan dia telah memenangi satu peraduan sebanyak RM3,300 kira-kira pukul 9 pagi, 17 April lalu.
“Mangsa kemudian diarahkan untuk memasukkan wang bagi mencukupi nilai pada cek yang telah disediakan oleh pihak syarikat tersebut.
“Wanita terbabit tanpa membuat semakan terlebih dahulu membuat pemindahan wang sebanyak 52 kali ke lapan akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pemindahan wang tersebut dilakukan secara deposit tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter bank serta melalui mesin ATM sehingga berjumlah RM255,250.99.
Menurutnya, mangsa mula berasa curiga dan menyedari ditipu apabila suspek terus meminta suspek membuat pemindahan wang.
“Mangsa seterusnya membuat laporan polis di Alor Setar pada 10 Mei lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.
Beliau menambah, beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan atau WhatsApp menyatakan telah memenangi peraduan dan meminta membayar sebarang kos untuk mendapatkan hadiah tersebut.
“Selain itu, kita menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan mana-mana syarikat yang menganjurkan peraduan berkenaan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE










