KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM7.8 juta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar kepada mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.
Peruntukan besar tersebut sebagai tanda mengambil berat kerajaan negeri terhadap kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.
Ia juga disediakan menurut kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seperti mana inisiatif-inisiatif bantuan yang disalurkan sebelum ini, BPP Covid-19 secara bersasar yang akan diberikan kali ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.
“Antara golongan yang akan menerima manfaatnya, petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, kes-kes Covid-19 aktif termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU).
“Turut akan mendapat manfaat BPP Covid-19 bersasar itu, warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, segala persediaan giat dilakukan dan beliau berharap, pengagihan sebenar BPP Covid-19 secara bersasar itu dapat dilaksanakan segera agar bakal penerimanya dapat memanfaatkan bantuan berkenaan.










