KEMAMAN: Jumlah kenderaan memasuki Terengganu turun 12 peratus berbanding 18,771 buah kenderaan yang direkodkan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, perkembangan itu susulan larangan rentas daerah dan negeri di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan.
“Jumlah kenderaan masuk ke negeri ini berkurang berbanding pada Jumaat lalu yang meningkat 25 peratus.
“Ini menunjukkan rakyat akur dan faham dengan arahan dikeluarkan kerajaan yang melarang rentas daerah dan negeri. Kita menjangkakan jumlah kenderaan yang masuk akan terus berkurang menjelang Aidilfitri,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) Perasing di sini.
Roslee berkata, sebanyak 25 SJR dilaksanakan di seluruh negeri ini sepanjang tempoh PKP dengan melibatkan seramai 373 anggota dan pegawai menerusi kawalan dan pemantauan lebih ketat.
“Kita minta masyarakat patuh dengan peraturan PKP terutama pada Hari Raya Aidilfitri dan sepatutnya mereka lebih faham kerana sudah setahun kita melalui pandemik Covid-19,” katanya.










