Kanak-kanak 4 tahun maut dirempuh kenderaan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 4 tahun maut dirempuh kenderaan

Mohd Haris Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Gara-gara terlepas daripada pengawasan ibu, seorang kanak-kanak empat tahun maut dilanggar pacuan empat roda di Pekan Donggongon petang semalam.

Kanak-kanak itu dipercayai meluru keluar dari kedai makan untuk menyeberangi jalan raya sebelum dilanggar oleh pacuan empat roda tersebut dalam kejadian pada 1.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati semasa pemandu pacuan empat roda itu sedang memandu kenderaan, dia tiba-tiba memberhentikan kenderaan kerana menyedari seperti terlanggar sesuatu.

Apabila dia turun dan melihat di hadapan keretanya, terdapat seorang kanak-kanak perempuan terbaring di atas jalan raya.

Pemandu itu kemudian membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk mendapatkan rawatan dan bertindak membuat laporan polis mengenai kemalangan itu.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa sebelum itu sedang makan bersama ibunya di sebuah kedai berhampiran dan tanpa disedari mangsa meluru keluar dan terus menyeberangi jalan lalu berlaku kemalangan tersebut.

“Pada 4.10 petang, polis dimaklumkan oleh pihak HQE bahawa mangsa telah meninggal dunia di wad kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Haris turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak semasa berada di tempat awam kerana risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN