Kampus UTM di Skudai pula kena PKPD; 513 dicekup ingkar SOP - Utusan Malaysia

Kampus UTM di Skudai pula kena PKPD; 513 dicekup ingkar SOP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai lusa sehingga 3 Jun ini.

Institut pengajian tinggi awam itu muncul sebagai yang kedua di negara ini selepas Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus induknya di Kota Kinabalu dikenakan PKPD awal April lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jangkitan telah menular di beberapa kolej kediaman lain selepas 49 kes positif dikesan melibatkan penghuni dari lima buah kolej dan pusat kesihatan.

“Sejumlah 346 ujian saringan dilakukan di lokaliti terbabit ujarnya, meliputi Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr. İsmail, Kolej 9, Kolej 10 dan Pusat Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di tiga lokaliti masing-masing di Melaka, Perak dan Sabah ditamatkan pada esok susulan trend penurunan kes yang baharu.

“Antaranya ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Madai, Kunak, Sabah yang sepatutnya berakhir PKPD pada 28 Mei ini, namun diawalkan seminggu daripada tarikh asal,” katanya.

Manakala PKPD di Kampung Lubok Katak, Tapah, Perak dan Kampung Permatang Tulang, Mukim Sebatu, Daerah Jasin ditamatkan pada esok seperti yang sudah pun dijadualkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jumlah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam menyaksikan 513 individu dicekup dengan 484 dikompaun manakala 29 lagi direman dengan kesalahan tertinggi ialah masih tidak memakai pelitup muka iaitu 185 kes.

Ia diikuti gagal merekod butiran diri (105), tiada jarak fizikal (79), tidak patuh arahan PKP (57), aktiviti perjudian (12), kegiatan pusat hiburan (lima), rentas kawasan (lima) dan lain-lain (65).

“Sejumlah 22 pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan empat kenderaan disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 186 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui lapan aktiviti penglihatan pasukan keselamatan,” tegasnya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 576 individu tiba di tanah air semalam dengan sejumlah 7,521 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib, selain 2,049 individu dibawa ke hospital, manakala 197,324 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 483 peruncit, 164 pemborong dan 31 pengilang dan melaksanakan sejumlah 1,329 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya