fbpx

19 Mei 2021, 8:11 am

  TERKINI

Inovasi bakar lemang dalam tong dram

MOHD. Rosli Abd. Rahman (kiri) melihat kerja-kerja membakar lemang dengan menggunakan tong dram yang diubah suai oleh di Stulang Baru, Johor Bahru di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengusaha lemang mencipta kaedah pembakaran makanan itu yang lebih jimat dengan menggunakan tong dram yang diyakini hanya memerlukan sejam 30 minit untuk masak berbanding tiga ke empat jam sebelum ini.

Mohd. Rosli Abd. Rahman 47, dari Kampung Stulang Baru yang terkenal dengan perniagaan lemang terutamanya pada musim perayaan berkata, idea menggunakan tong dram terpakai itu timbul ketika bersembang bersama beberapa rakannya.

“Sebelum Ramadan lalu, saya ada berborak dengan rakan untuk mencari alternatif membakar lemang yang cepat dimasak dan paling penting mengurangkan penggunaan kayu api, secara spontan idea guna tong dram muncul menyebabkan saya tidak menunggu lama untuk mencuba.

“Saya segera mencari tong dram terpakai dan mengubah suai menjadi tempat membakar lemang dengan memotong bahagian tengah tong tersebut serta menebuk bahagian bawah bagi meletakkan kayu api.

“Di sekeliling tong tersebut saya tampal dengan gegelung besi bagi membolehkan buluh lemang dapat diletak secara menegak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Rosli yang menjual kira-kira 3,000 batang lemang pada tahun lalu berkata, percubaan pertama kalinya itu pada minggu lepas membuahkan hasil yang amat memberangsangkan kerana dapat menjimatkan kayu, tenaga, masa dan cepat masak.

“Saya sendiri mengubah suai tong dram tersebut dengan kos untuk membeli dan mengubah suai peralatan ini hanya RM100 setiap satu,” katanya yang sedang menyiapkan 10 tong dram bagi kegunaan itu.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, setiap tong dram tersebut mampu memuatkan 24 batang buluh lemang yang akan masak serentak dan diyakini dapat memenuhi sasaran jualannya sehingga 5,000 batang pada tahun ini.

Katanya, lemang yang diberi nama Lemang Rendang Raja itu mendapat permintaan daripada orang ramai apabila musim perayaan dengan harga antara RM12 hingga RM15 bergantung pada saiz buluh selain Rendang Raja dengan harga RM60 sekilogram.

Orang ramai yang ingin merasai keenakan Lemang Rendang Raja hasil air tangan Mohd. Rosli boleh menghubungi beliau di talian 012-767 7695.