TUMPAT: Seorang pelajar tingkatan lima berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 5.48 meter di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa dikatakan duduk diatas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sebelum menduduki peperiksaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.12 pagi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi bersama enam anggota pada pukul 9.23 pagi pihak bomba mendapati mangsa berada di dalam perigi berkenaan.
“Mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan peralatan menyelamat khas termasuk tali dan tangga. Kita mengambil masa selama lima minit untuk membawa pelajar itu keluar.
“Pelajar berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azmi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sebelum struktur itu pecah lalu menyebabkan dia terjatuh ke bawah.-UTUSAN










