GEORGETOWN: Para pengusaha hotel di Pulau Pinang dijangka mengalami kerugian sehingga RM10 juta susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berkuat kuasa dari 12 Mei hingga 7 Jun depan.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pelaksanaan perintah PKP sudah tentu memberi impak kepada industri pelancongan dan pengusaha hotel adalah antara pihak yang paling terkesan.
“Selepas PKP diumumkan di beberapa negeri, pengusaha hotel di Pulau Pinang telah berdepan dengan 50 hingga 70 peratus pembatalan tempahan melibatkan acara dan majlis sosial di hotel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
PKP dilaksana di seluruh negara dengan larangan rentas daerah dan negeri.
Menurut Raj Kumar, pihaknya turut berharap kerajaan akan mempertimbang permohonan MAH supaya pekerja barisan hadapan sektor pelancongan turut diberi keutamaan bagi pengambilan vaksin Covid-19.
Ini kerana katanya, golongan pekerja itu yang perlu bersemuka secara langsung dengan pelanggan ketika menjalankan tugas di hotel turut berisiko tinggi dalam penularan wabak berkenaan.
“Barisan hadapan sektor pelancongan ini adalah golongan yang terpenting untuk menyambut kedatangan tetamu tanpa mengira latar belakang.
“Kami pernah menyuarakan hasrat ini dan berharap kerajaan akan mempertimbang pemberian vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan di hotel bagi memastikan keselamatan semua pihak di hotel,” katanya.
Tambahnya, Singapura sebelum ini telah melaksanakan pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja hotel dan tindakan itu berjaya menyelamatkan industri perhotelan di negara berkenaan daripada terus merudum akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE










