JEMPOL: Dua pemilik premis di pekan Rompin, dekat sini, dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM10,000 selepas mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pasukan petugas pemantauan SOP PKP 3.0 telah membuat pemeriksaan ke sebuah kedai runcit kira-kira pukul 11 pagi dan mendapati pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 68 tahun gagal menyediakan kemudahan QR Code MySejahtera kepada pelanggan.
Menurutnya, setengah jam kemudian, sebuah kedai barangan elektronik turut dikesan melakukan kesalahan yang sama dan kompaun dikeluarkan ke atas pemiliknya iaitu lelaki berusia 60 tahun.
“Kedua-duanya dikompaun di bawah peraturan 16 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 1988 kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP.
“Selain itu, tiga individu berusia lingkungan 19 hingga 61 tahun turut dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dan juga tidak mendaftar masuk ke dalam premis aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Chang Hook berkata, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol berjaya menangkap seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan di Ladang Batang Jelai Rompin kira-kira pukul 1 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh suspek berusia 38 tahun itu ketika di Simpang Kampung Sungai Temarom telah menemui sepeket kecil disyaki dadah jenis syabu berada di beg yang dipakai suspek.
“Ujian urin mendapati suspek positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau dengan dua daripadanya membabitkan dadah serta satu jenayah kecurian.
“Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.- UTUSAN ONLINE










