GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai menghentikan segera pembelian panik melibatkan bekalan makanan susulan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang bermula 1 Jun ini.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, ini kerana kerajaan sudah memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh tersebut dilaksanakan dan pengguna tidak perlu menyimpan stok barangan makanan di rumah masing-masing secara berlebihan.
“Semua barangan makanan dan keperluan lain yang diperlukan pengguna dijamin mencukupi di pasar awam dan pasar raya.
“CAP berharap pengguna berhenti membuat pembelian panik kerana sikap ini akan membuatkan bekalan barangan boleh terputus,” katanya di sini hari ini.
Pengguna di seluruh negara dilaporkan membuat pembelian panik bermula semalam ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.
Situasi itu tetap berlaku walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah memberi jaminan bekalan makanan keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi bagi menghadapi tempoh tersebut

Menurut Subbarow, CAP bimbang sekiranya pengguna terus membeli barangan dengan jumlah yang banyak tanpa kawalan, harga barangan berkenaan juga boleh meningkat mendadak.
“Pengguna harus bertanggungjawab sepenuhnya dengan sikap mereka, ini kerana apabila permintaan untuk barangan keperluan meningkat sudah pasti harganya juga akan melambung tinggi.
“Jangan beli barang terlalu banyak dan simpan di rumah ketika tempoh tersebut berlangsung kerana boleh rosak dan menyebabkan berlaku pembaziran,” katanya.
Dalam pada itu katanya, CAP juga menggalakkan pengguna pergi ke pasar dalam sehari sahaja seminggu.
“Tentukan terlebih dahulu barang apa yang akan di beli dan pergi ke kedai yang paling hampir dengan rumah.
“Selain itu, pengguna juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 ketika di pasar serta membawa beg sendiri ketika membeli barangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









