KOTA BHARU: Virus Covid-19 varian Afrika Selatan B.1.351 yang tersebar di Kelantan bukan berpunca daripada anak seorang Ahli Parlimen di negeri ini, sebagaimana didakwa warganet yang tular sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, dakwaan kononnya anak pemimpin itu yang mencetuskan Kluster Bunut Sarang Burung juga tidak benar.
“Dakwaan yang tular di media sosial ini adalah tidak benar dan orang ramai dinasihatkan agar berhenti berkongsi mesej tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya sini hari ini.
Terdahulu warganet membuat andaian bahawa anak Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang membawa masuk varian itu selepas beliau memuat naik gambar menyambut anak sulungnya itu yang pulang ke tanah air baru-baru ini.
Susulan khabar angin yang tular, Ahli Parlimen Bachok itu semalam menafikan bahawa anaknya yang baru pulang daripada institusi pengajian di Afrika Selatan telah dijangkiti virus B.1.351.
Menurut Nik Mohamad Abduh, anak lelakinya yang berusia 26 tahun pulang ke Kelantan pada 5 April lalu selepas menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di ibu negara.
CAPTION
GAMBAR dimuat naik Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di akaun Facebook ketika menyambut anak sulungnya dari Afrika Selatan yang pulang ke tanah air baru-baru ini.










