JERANTUT: Jemaah Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ), bandar Jerantut di sini bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana terpilih untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Pengerusi Biro Cakna MTMAJ, Ikhtiman Ismail berkata, situasi pandemik Covid-19 yang masih menular pada ketika ini menyebabkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat sunat itu terpaksa dihadkan.
“Alhamdulillah kerajaan masih lagi membenarkan kita menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Marilah kita sama-sama mematuhi setiap arahan kerajaan untuk mengawal Covid-19 di samping beristiqamah serta berdoa supaya wabak ini kembali pulih bagi membolehkan umat Islam beramai- ramai dapat mengimarahkan masjid semula,” ujarnya.
Seramai 50 jemaah MTMAJ, bandar Jerantut menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kebiasaan baharu ketika negara masih berdepan ancaman penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah yang juga bertugas menyampaikan khutbah Hari Raya Adilfitri selepas solat.
Menurut Mohd. Fikri, pihak pengurusan masjid memastikan para jemaah yang terdiri seramai 50 orang mematuhi SOP yang ketat, iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, mengimbas suhu atau merekodkan dalam aplikasi MySejahtera serta membawa sejadah sendiri berasaskan arahan peraturan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“Jemaah telah memenuhi ruang saf bermula pukul 7.30 pagi sambil beramai-ramai melafazkan takbir dan tahmid, kemudian Solat Sunat Aidilfitri bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 9.30 pagi selepas imam membaca khutbah.
“Kita telah memastikan setiap jemaah yang dipilih menunaikan solat hari raya tahun ini mematuhi peraturan SOP yang ditetapkan oleh JAIP yang sudah dimaklumkan sehari sebelum solat sunat hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE