RAUB: Bantuan tunai RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu bentuk penghargaan kepada seluruh rakyat, termasuk golongan dewasa yang sebelum ini tidak layak menerima inisiatif sedemikian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan secara sekali beri melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu bukan hanya bersifat kebajikan, malah menunjukkan keterbukaan kerajaan dalam menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi tempat tinggal.
Kata beliau, langkah itu selari dengan usaha kerajaan untuk meringankan beban sara hidup rakyat, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Kalau ada orang anggap bantuan itu kecil, cuba kita lihat siapa yang benar-benar memerlukannya. Kalau mereka rasa RM100 itu tak penting, sumbangkan ke masjid, kuil, tokong atau gereja. Saya nak tengok berapa ramai sanggup buat begitu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Raub di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata. bantuan SARA kini telah diperluas kepada lebih ramai penerima, termasuk mereka yang sebelum ini tidak layak untuk menerima bantuan tunai kerajaan.
“Kerajaan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh. Bantuan kali ini tidak terhad kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) semata-mata, malah individu dewasa berumur 18 tahun ke atas turut diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu memperlihat keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan tiada kumpulan masyarakat tercicir daripada sistem sokongan kewangan kerajaan. – UTUSAN










