SHAH ALAM: Semua kepimpinan di 191 UMNO Bahagian perlu menyusun dan membina semula pasukan yang mantap bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu penting berikutan dinamik politik negara telah berubah berbanding sebelum ini.
Menurutnya, pengundi kini bukan terdiri daripada yang tiada berpendidikan tinggi namun menilai setiap tempoh lima tahun pentadbiran sesebuah kerajaan.
“Jadi, saya meminta semua UMNO Bahagian membina semula pasukan di kawasan masing-masing sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita kena ada leadership (kepimpinan dan susun pasukan. Secara tidak langsung, ia juga perlu kemenangan pasukan dan bukannya individu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, hari ini.
Menurut Johari, beliau sentiasa mengingatkan ahli UMNO mengenai kejayaan yang dicapai parti itu selama 60 tahun.
“Namun, itu adalah sejarah lalu dan kita mahu melihat ke hadapan. Tiada mana-mana parti boleh mendabik dada kerana kemenangan yang diperoleh.
“Dalam konsep pilihan raya, kita berdepan pelbagai cabaran dan apabila pasukan kita menang, kita dapat tawarkan kepada rakyat untuk menilai parti kita,” ujarnya.
Tambah beliau, sukan bola sepak juga boleh menjadi contoh terbaik bagi membina sesebuah pasukan yang kuat.
“Dalam sesuatu perlawanan, tidak boleh ada hanya seorang saja dalam pasukan itu yang menyerlah seperti ‘striker’ (penyerang), namun pemain lain adalah sebaliknya.
“Pasukan itu kena mantap dan tiada percanggahan dari segi strategi. Sekurang-kurangnya 50 peratus adalah kekuatan sedia ada pasukan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, kepimpinan pihaknya kini kebanyakkannya terdiri daripada pasukan baharu terutama golongan muda.
“Kami memang menggunakan pendekatan membawa hampir tiga per empat golongan itu dalam barisan tertinggi bahagian.
“Langkah itu bagi mendapatkan suara dan pandangan orang muda dalam memantapkan lagi masa depan parti,” tambahnya. – UTUSAN










