Bayi lemas: Nenek saudara ditahan bantu siasatan - Utusan Malaysia

Bayi lemas: Nenek saudara ditahan bantu siasatan

SHAFEE ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita berusia 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi berusia 18 bulan dalam jagaannya di Taman Seri Juru di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, polis turut merampas sebuah besen mandian plastik selain mengambil sampel air mandian, satu kesan swab pada besen mandian, sehelai rambut, satu bangku plastik serta sehelai sapu tangan untuk siasatan lanjut.

Shafee berkata, terdahulu, anak perempuan suspek yang juga saksi kejadian ternampak ibunya sedang memegang bayi perempuan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, ketika disoal siasat, suspek mendakwa bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat dan muntah-muntah sebelum anaknya menghubungi ambulans kira-kira pukul 11.37 pagi semalam.

“Bayi tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang sebelum mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Seberang Jaya untuk urusan bedah siasat.

“Hasil bedah siasat kira-kira pukul 4 petang kemudiannya mengesahkan punca kematian bayi berkenaan adalah disebabkan lemas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Shafee, siasatan lanjut mendapati suspek tersebut merupakan nenek saudara kepada bayi itu dan tinggal bersama suami serta seorang anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun.

Katanya, suspek mula menjaga mangsa sejak sebulan lalu iaitu antara pukul 10 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya