Adaptasi digital lonjak penyampaian perkhidmatan awam - Utusan Malaysia

Adaptasi digital lonjak penyampaian perkhidmatan awam

MOHD. KHAIRUL ADIB ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak mesti menerima keadaan realiti kehidupan sebenar dan perlu berubah daripada tradisi kebiasaan ke arah pendigitalan dengan mengadaptasinya dalam tempoh yang singkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, penjawat awam juga tidak terkecuali malah perlu mengadaptasi terhadap perubahan perkhidmatan awam agar terus kekal relevan selaras dengan keperluan semasa.

“Ini termasuk perubahan ke arah pendigitalan sekali gus dapat mengurangkan masa berurusan dengan agensi awam secara fizikal. Ini adalah satu kebiasaan baharu dan adalah satu pendekatan yang baik dalam mempelbagaikan perkhidmatan pendigitalan selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini.

“Terdapat keperluan segera untuk mengubah budaya kerja dalam perkhidmatan awam dan menggalakkan penguasaan pemikiran yang mengutamakan digital.

“Kita haruslah sentiasa peka dan bersiap sedia untuk mengubah landskap pengoperasian dan sistem penyampaian perkhidmatan agar inovatif, cekap dan cepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah beliau, sebagai penjawat awam juga perlu bersiap sedia mengubah minda dan melengkapkan diri dengan kemahiran digital berikutan perkongsian maklumat mutakhir ini didapati seperti tiada batasan.

“Kita mesti menguar-uarkan peluang serta faedah teknologi digital dan melengkapkan pegawai perkhidmatan awam dengan kemahiran tertentu,” katanya.

Selain itu, kata Mohd Khairul Adib, data perlu dimanfaatkan semaksimum mungkin kerana ia adalah teras kepada proses digitalisasi sektor awam serta bertindak sebagai aset strategik dalam menambah baik penggubalan dasar, penyampaian perkhidmatan dan pengurusan organisasi kerajaan.

“Melalui pendigitalan, kita boleh melakukan pelbagai aktiviti seharian dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti perkhidmatan kerajaan secara elektronik dan amalan e-bayaran bagi menyokong ke arah komuniti tanpa tunai.

“Kita perlu sentiasa berusaha dan harus mengambil tindakan untuk meningkatkan perkhidmatan dalam talian dari hujung ke hujung atau E2E walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Di samping itu, isu berkaitan keselamatan rangkaian siber juga perlu diberi perhatian serius dalam melaksanakan perkhidmatan E2E.

“Kita di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyediakan Perkhidmatan E2E seperti HRMIS, e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA), Sistem Perkhidmatan Peperiksaan Awam, Gerbang Maklumat Modal Insan (e-Sila), MyPesara dan Robotic Process Automation (RPA). Perkhidmatan ini tidak terhad kepada warga JPA, tetapi turut dimanfaatkan oleh semua penjawat awam, pelajar tajaan, pesara dan orang awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya