PONTIAN: Ribuan pelayar antarabangsa yang dalam misi mengeliling dunia turut memilih Johor sebagai destinasi persinggahan sebelum meneruskan pelayaran.
Timbalan Presiden, Persatuan Pelancongan Perkapalan & Marin Malaysia (PPPMM), Sazli Kamal Basha, 54, berkata, ketika ini terdapat 20,000 pelayar sedang mengeliling dunia dengan menggunakan pelbagai jenis kapal.
Katanya, pemilihan Malaysia khususnya Johor, sebagai tempat persinggahan menunjukkan mereka tertarik dengan pelbagai aktiviti pelancongan yang ditawarkan selain masyarakat negara ini yang mesra dan peramah.
Menurut beliau, persinggahan kapal-kapal layar biasanya antara tiga hingga lima bulan yang tentunya turut memberi kesan limpahan ekonomi di kawasan tersebut.
“Bagi Johor, Puteri Harbour di Iskandar Puteri merupakan pintu masuk ke Asia yang banyak dikunjungi oleh kapal-kapal dalam pelayaran dari Timur ke Barat dan sebaliknya.
“Biasanya mereka akan membelanjakan kira-kira RM150,000 bagi tempoh lima bulan termasuk bayaran berlabuh, pembaikan kapal, makan minum dan sebagainya,” katanya semasa mengiringi lawatan 42 pelayar bersama keluarga mereka ke rumah Tradisional Bugis di Sungai Kuali, Serkat.
Mereka terdiri daripada 16 orang pemilik kapal layar yang sedang berlabuh di Puteri Harbour, Iskandar Puteri dibawa melawat Pontian dengan kerjasama Tourism Johor dan PPPMM
Tambah Sazli, pemilihan Rumah Tradisional Bugis bagi menyokong industri pelancongan di Pontian di samping memperkenalkan mereka kepada Tanah Di Penghujung Benua Asia di Tajung Piai.
“Selain Pontian, Kota Tinggi dan Mersing juga jadi tumpuan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelayar, Mike Furguson, 60, dari Afrika Selatan berkata, dia telah setahun berlayar mengelilingi dunia dengan persinggahan terakhir di Thailand sebelum ke Malaysia.
Dia mengelilingi dunia bersama isteri, Maja, 46, berasal di Slovenia, tertarik dengan layanan mesra penduduk tempatan selain makanan yang sedap.
“Saya suka negara ini (Malaysia) kerana mempunyai pelbagai bangsa dan budaya selain dapat menikmati pelbagai jenis makanan,” jelasnya.
Bagi Stephane, 65, dia sudah tujuh tahun mengeliling dunia sejak 2007 dan baru pertama kali sampai ke negara ini.










