Perlis perlu lebih berdaya saing hasilkan benih padi sendiri

Perlis perlu lebih berdaya saing hasilkan benih padi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih berdaya saing bagi merealisasikan hasrat penghasilan benih padi sendiri sekali gus mengelakkan para pesawah terus bergantung terhadap kilang atau syarikat dari luar bagi mendapatkan bekalan setiap kali musim penanaman padi.

Langkah tersebut juga penting bagi mengatasi isu kelewatan bekalan dan kualiti benih padi yang terus berulang setiap tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim berkata, sudah tiba masanya Perlis yang dua pertiga kawasan tanahnya adalah kawasan pertanian atau sawah mengeluarkan benih padi sendiri.

Katanya, bagi merealisasikan usaha itu juga, setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu mengeluarkan benih padi sendiri.

Ujarnya, Perlis sudah mempunyai pusat pembelian benih tapi kenapa tidak mengeluarkan padi benih sendiri.

“Saya ingin memberikan beberapa cadangan dan mengutarakan kepada kerajaan negeri supaya mengambil langkah yang lebih berdaya dan aktif dalam usaha merealisasikan penghasilan benih padi sendiri dan beras putih tempatan.

“Kita negeri yang hampir dua pertiga tanah adalah kawasan pertanian dan kawasan Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengusahakan tanaman padi.

“Usaha untuk hasilkan benih padi sendiri ini bukan pada zaman pemerintahan ini sahaja tapi pemerintahan kerajaan yang lalu juga. Bagi kerajaan negeri ini, saya sarankan usaha yang sesungguhnya supaya kita dapat merealisasikan benih padi sendiri ini.

“Agak malang, kita berada dalam kawasan padi atau tanaman padi yang banyak namun masih mengharapkan kepada kilang-kilang dan syarikat dari luar bagi mendapatkan benih,” katanya.

Disember tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Perlis bakal membuka ladang benih padi sendiri melibatkan kawasan seluas 328 hektar dengan penglibatan PPK seluruh negeri ini sekali gus bakal mengatasi masalah bekalan benih padi di negeri itu.

Kewujudan ladang berke­naan dapat menyelesaikan isu bekalan benih merangkumi 30 peratus keluasan kawasan tanaman padi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad dilaporkan berkata, perancangan ladang benih padi berkenaan melibatkan agensi seperti Jabatan Pertanian nege­ri, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan MADA.

Akhbar ini juga pernah melaporkan 71,000 pesawah kawasan MADA berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim sekiranya mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan ketiadaan benih padi.

Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu tetapi berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Tambah Mohd. Ridzuan, beliau memahami berkemungkinan sukar ke arah itu namun ia bukan halangan untuk kerajaan negeri tidak berusaha lebih agresif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN