PETALING JAYA: Kerajaan perlu memantau perkembangan kes tuntutan terhadap firma farmaseutikal, AstraZeneca (AZ) di luar negara dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya vaksin Covid-19 syarikat itu disahkan mempunyai kesan sampingan.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, langkah itu termasuk menarik balik pendaftaran bersyarat bagi vaksin berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, penarikan balik itu tetap perlu diputuskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Apa-apa ubat memang ada kesan sampingan dan ia wajib dilaporkan kepada PKBD.
“Jadi, sekarang ini tunggu apa keputusan mahkamah. Panel peguam kedua-dua belah pihak akan kemuka hujah, jadi biar mahkamah putuskan.
“Jangan kata kalau berlaku di luar, di sini pun ada sama. Perlu tahu yang dua tubuh badan tidak semestinya sama. Ia boleh jadi ubat kepada satu orang, tetapi ubat sama boleh jadi racun untuk orang lain sebab keadaan badan berbeza,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, portal antarabangsa melaporkan, AZ dalam dokumen mahkamah saman mengakui vaksin Covid-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Syarikat farmaseutikal itu menghadapi tuntutan saman atas dakwaan vaksin dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
Sebanyak 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini dengan mangsa menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta atau RM512 juta.
Mengulas lanjut, Amrahi berkata, orang ramai boleh membuat laporan sekiranya mempunyai komplikasi yang dipercayai disebabkan vaksin. – UTUSAN










