fbpx

10 Mei 2021, 6:30 am

  TERKINI

53 peniaga dikompaun ketika SHMMP

CHONG Fat Full (dua kanan) mendengar penerangan seorang peniaga ayam ketika membuat pemeriksaan bersama KPDNHEP Johor di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 53 peniaga telah dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM7,550 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, tindakan kompaun itu diambil selepas kira-kira 200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan 2,105 pemeriksaan di seluruh negeri.

Katanya, jumlah tersebut meliputi 2,058 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 47 pemeriksaan di peringkat pemborong di seluruh Johor.

“Sepanjang SHMMP ini dikuatkuasakan, seramai 36 peniaga dikompaun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

“12 kes lagi melibatkan kesalahan gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

“Sementara itu, lima peniaga lagi diambil tindakan kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang kawalan di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.

Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 adalah secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 10 jenis barang yang dikuat kuasakan sejak 21 April hingga 20 Mei ini yang melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

Tambah Fat Full, KPDNHEP Johor bukan suka-suka mengeluarkan kompaun dan hanya akan berbuat demikian selepas kesalahan masih dilakukan peniaga setelah peringatan diberikan.

Jelasnya, ada peniaga yang tidak tahu barang apa yang perlu letak tanda harga berwarna merah jambu.

“Ada juga aduan yang kita terima daripada peruncit mengatakan mereka mendapat harga yang tinggi daripada pemborong. Jadi, kita akan semak keseluruhan rantaian perniagaan itu sehinggalah ke pengeluar untuk tahu di mana masalahnya,” jelasnya.

Katanya, bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, sementara syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN