PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 39 kes termasuk 31 warga emas sekali gus menjadi rekod tertinggi setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian melibatkan 10 kes di Johor, lapan kes di Kuala Lumpur, lima kes di Selangor, tiga kes di Sabah, dua kes di Kedah, dua kes di Sarawak, dua kes di Kelantan, dua kes di Pahang manakala Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Putrajaya, masing-masing satu kes.
“Seramai 26 lelaki termasuk seorang warga asing manakala wanita seramai lapan orang termasuk seorang warga asing berusia antara 43 dan 88 tahun melibatkan pelbagai latar belakang penyakit.
“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, jantung, darah tinggi, buah pinggang kronik, dislipidemia, strok, obesiti, paru-paru obstruktif kronik, epilepsi, gout, limfoma dan kanser usus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia juga merekodkan kes positif baharu Covid-19 yang tertinggi dengan menghampiri 5,000 kes iaitu 4,765 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 3,124 kes.
Katanya, 20 kluster baharu direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 40,101 kes berbanding semalam, 38,499 kes manakala sebanyak 469 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 244 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi baharu iaitu 2,082 kes diikuti Kuala Lumpur, 540 kes; Sarawak, 405 kes; Johor, 348 kes; Kelantan, 297 kes; Pulau Pinang, 259 kes; Kedah, 226 kes; Perak, 172 kes; Negeri Sembilan, 122 kes dan Melaka, 110 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Sabah, 70 kes; Pahang, 63 kes; Terengganu, 60 kes manakala Labuan, enam kes; Putrajaya, empat kes dan Perlis, satu kes,” katanya.
Mengulas mengenai 20 kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan 12 kluster tempat kerja, lima kluster komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, keagamaan dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, 12 kluster tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Persiaran Tanjung (53 kes), Kluster Persimpangan Batu Arang (163 kes), Kluster Tapak Bina Bukit Semenyih 2 (105 kes), Kluster Industri Jalan Emas (31 kes), Kluster Persiaran Masjid Lima (26 kes) dan Kluster Persiaran Satu (27 kes).
“Selain itu, Kluster Tapak Bina Batu Lima (20 kes), Kluster Jalan Segambut Pusat (sembilan kes), Kluster Jalan Tembaga Industri (24 kes), Kluster Jalan Gangsa Industri (15 kes), Kluster Jalan Terbilang (43 kes) dan Kluster Telipot (46 kes).
“Kluster lain ialah Kluster Nanga Skrang (27 kes), Kluster Skim Penempatan Stapok (26 kes), Kluster Kampung Tok Sangkut (10 kes) dan Kluster Kahang Timur (42 kes), Kluster Lorong Taman Ipoh Dua (21 kes), Kluster Jalan Muafakat (39 kes), Kluster Kebagu (15 kes) serta Kluster Tanjung Kapor (lapan kes),” katanya.










