2,800 janji temu AstraZeneca di PPV WTCKL disusun semula - Utusan Malaysia

2,800 janji temu AstraZeneca di PPV WTCKL disusun semula

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,800 janji temu agihan vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC) terpaksa dijadualkan semula bagi mengelak kesesakan di lokasi itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, dua tarikh janji temu yang terbabit dengan penjadualan semula itu adalah pada 15 dan 16 Mei ini.

Beliau berkata, PPV itu sepatutnya mengendalikan 19,000 janji temu sepanjang dua hari berkenaan, namun ia terpaksa dikurangkan kepada 16,200 janji temu.

“Baki 2,800 janji temu yang lain akan disusun semula dan diberikan tarikh baharu antara 17 hingga 23 Mei ini.

“Notifikasi tarikh janji temu baharu akan mula dihantar esok menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini, PPV WTC beroperasi pada kapasiti penuh iaitu berupaya mengendalikan kira-kira 9,000 janji temu sehari.

Khairy berkata, penjadualan semula itu dibuat susulan penularan kes positif Covid-19 akhir-akhir ini khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur selain menjamin penjarakan fizikal di pusat dagangan itu.

Menurutnya, pihaknya akan meningkatkan pemantauan berterusan di PPV itu bagi memastikan tiada kesesakan berlaku.

“Pada masa sama, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan menambah keperluan dewan di WTC pada masa depan bagi menampung agihan vaksin itu,” katanya.

Katanya, penjadualan semula janji temu itu hanya membabitkan PPV WTC sahaja dan tiga PPV AstraZeneca lain masih beroperasi mengikut kapasiti ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, selepas enam hari dilancarkan, seramai 19,718 individu sudah menerima suntikan dos AstraZeneca setakat ini.

Selain itu, katanya, terdapat 60,000 individu memilih untuk meletakkan nama mereka dalam senarai menunggu bagi mendapatkan vaksin berkenaan kerana ketiadaan stok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya