SHAH ALAM: Polis Selangor telah mengarahkan sebanyak 1,472 kenderaan berpatah balik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 6 Mei lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan 313 kompaun terhadap individu yang cuba merentas daerah atau negeri bagi tempoh yang sama.
“Ada segelintir daripada mereka yang cuba merentas daerah kita arahkan berpatah balik dan tidak dikenakan kompaun kerana masih berada dalam daerah mereka duduki. Namun, sekiranya mereka telah memasuki daerah lain, tindakan kompaun akan dikenakan serta merta.
“Masyarakat harus ingat, hari raya bukan berkaitan melawat kawan dan keluarga tetapi adalah meraikan kemenangan selepas berpuasa. Mereka yang merancang untuk melakukannya, duduk sahaja di rumah untuk sama-sama menangani Covid-19.
“Kita tidak menafikan berlaku kesesakan di setiap sekatan jalan raya tetapi tiada pilihan kerana pemeriksaan perlu dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di bazar dan pusat membeli belah bagi mengekang Covid-19 selain menambah sekatan jalan raya.
Dalam perkembangan berasingan, Arjunaidi berkata, sebanyak 348 anggota Polis Selangor positif Covid-19 sejak negara dilanda pandemik itu pada tahun lalu.
“Setakat ini, tujuh anggota masih dirawat dan 36 pula sedang menjalani kuarantin. Selain itu, sasaran pemantauan untuk pasukan kita juga adalah di kawasan di lokaliti hotspot,” katanya.
Dalam pada itu, Arjunaidi menjelaskan, kertas siasatan berhubung kes seorang guru yang mengeluarkan kata-kata lucah terhadap pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) berusia 17 tahun telah selesai.
“Kertas siasatan telah lengkap dan kita telah merujuknya kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Buat masa ini, kita menunggu keputusan daripada mereka,” jelasnya.










