132 rakyat Malaysia, 8 rakyat Brunei dari India berjaya dibawa pulang - Utusan Malaysia

132 rakyat Malaysia, 8 rakyat Brunei dari India berjaya dibawa pulang

WISMA Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 132 rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai, India berjaya dibawa pulang dalam misi repatriasi membawa pulang ke tanah air dan selamat tiba pada pukul 1 pagi tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan seramai 117 rakyat Malaysia dan enam orang tanggungan serta seorang pemegang status penduduk tetap negara ini.

Menurutnya, kesemua mereka selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat sewaan khas
Malindo Air.

“Mengambil kira hubungan erat dan istimewa yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Brunei Darussalam, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan untuk membawa pulang lapan orang warganegara itu dalam misi repatriasi tersebut.

“Kesemua penumpang, kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terlibat dalam menjayakan misi ini adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya hari ini.

Kementerian Luar menjelaskan, antara SOP itu ialah mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 yang disahkan negatif dalam tempoh tidak lebih daripada 72 jam sebelum pelepasan.

Katanya, ketibaan penerbangan repatriasi tersebut adalah secara berasingan di Unit Kecemasan Udara, juga dikenali sebagai Air Disaster Unit (ADU).

Selain itu, ujarnya, pemeriksaan dan tapisan kesihatan yang ketat dilaksanakan Kementerian Kesihatan sewaktu ketibaan.

“Perintah kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan Kerajaan Malaysia.

“Pemantauan tahap kesihatan secara berterusan terhadap semua penumpang termasuk kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terlibat oleh Kementerian Kesihatan sehingga tamat tempoh kuarantin,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian itu menyifatkan kejayaan misi ini adalah hasil kerjasama erat melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

Kementerian Luar merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini.

“Kementerian akan terus memantau situasi pandemik Covid-19 di India dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara, ” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan pelaksanaan misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India semasa negara itu terus mencatatkan rekod baharu dalam angka kes baharu Covid-19 dan kematian.

India merekodkan 4,187 kematian sehari pada Sabtu lalu buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu.

Angka itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif korban wabak itu adalah 238,270 selain 401,078 kes jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya