PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan 12 lagi kes melibatkan varian South African B.1.351 dan satu kes varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, varian South African dikesan di Kedah, Perlis, Selangor dan Johor manakala varian Indian B.1.617 di Labuan.
Katanya, sebanyak 78 kes varian South African B.1.351 dan enam kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) dikesan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
“Bagi kes varian South African B.1.351, lima daripadanya dikesan dalam Kluster Bayan Cenderawasih, satu lagi kes adalah saringan kontak rapat, tiga kes adalah saringan bergejala dan tiga lagi kes daripada lain-lain saringan.
“Satu kes varian Indian B.1.617.2 pula, melibatkan rakyat tempatan yang juga kontak rapat kepada warga India yang sama-sama menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan pada 23 April di mana warga India tersebut dikesan positif ketika dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan semalam..
Dr. Noor Hisham berkata, warga tempatan itu kemudian bergejala pada 3 Mei lalu dan keesokannya, dikesan positif RT-PCR.
“Mengambil kira perkembangan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan dan kemunculan varian baharu dalam komuniti yang mempunyai kadar kebolehjangkitan Covid-19 dan kematian yang lebih tinggi maka kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selama dua minggu bermula hari ini.
“Bagi tempoh dua minggu ini, duduklah di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN ONLINE










