Zahid, Anwar perlu buat pengakuan bersumpah nafi audio tular - Utusan Malaysia

Zahid, Anwar perlu buat pengakuan bersumpah nafi audio tular

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya membuat pengakuan bersumpah di masjid bagi menafikan audio perbualan telefon yang tular ketika ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang berkata, mungkin cara sedemikian boleh dilakukan bagi menafikan pembabitan mereka dalam perbualan tersebut.

“Saya cuba mendengarnya malam tadi berkali-kali dan sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua mereka, saya yakin 101 peratus itu adalah suara tulen.

“Pengecaman suara itu bukanlah menjadi terlalu rumit, malah suara orang berlakon dengan suara sebenar itu saya boleh kenal pasti” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030), di sini hari ini.

Justeru, katanya, beliau mahu kedua-dua pemimpin parti itu jujur dan berani serta harus memberi penjelasan sebenar bukannya menafikan dan cuba menuduh orang lain pula.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Ahmad Zahid juga harus berani mengambil tanggungjawab untuk mengundurkan diri dari jawatan Presiden sekiranya tindakannya itu menjejaskan parti UMNO itu sendiri.

“Saya harap Presiden berani ambil tanggungjawab atas apa yang beliau lakukan dan bertindak jujur dan kemudian ambillah teladan. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila sampai satu peringkat menjejaskan parti, beliau mengundurkan diri.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani ambil tanggungjawab untuk mengundurkan diri kerana mahu parti berjalan terus dan tidak terbeban dengan kedudukan dirinya. Saya berpandangan beliau (Ahmad Zahid) harus mengambil langkah yang sama mencontohi pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu tanpa sesiapa yang memaksa,” katanya.

Katanya lagi, selepas timbulnya isu terbaharu ini, beliau secara peribadi yakin bahawa sebenarnya memang ada perhubungan, perhitungan dan konspirasi antara Presiden UMNO dan Presiden PKR.

Annuar berkata, ahli UMNO kini boleh menilai bahawa keputusan parti tidak harus dilanggar, malah ahli Majlis Tertinggi UMNO juga kena ambil tanggungjawab dengan meletakkan keputusan parti di hadapan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.