UKM universiti awam pertama konvokesyen kebiasaan baharu - Utusan Malaysia

UKM universiti awam pertama konvokesyen kebiasaan baharu

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam pertama di negara ini mengadakan majlis konvokesyen secara fizikal sepenuhnya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

UKM melangsungkan Majlis Konvokesyen Ke-48 bermula pada semalam sehingga 12 April ini melibatkan 10 sidang sesi pagi sahaja bagi memberi ruang kerja-kerja sanitasi dijalankan pada waktu petang.

Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan rasa bangganya dengan usaha pihak pengurusan UKM bekerja keras bagi memastikan majlis itu berjalan lancar.

“Beta juga bersyukur UKM cekal mengharungi waktu yang mencabar ini dengan membuat penyesuaian terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, khidmat masyarakat serta fungsi lain universiti.

“Beta amat berbangga dengan komitmen dan usaha keras yang ditunjukkan oleh pasukan pengurusan dan para petugas barisan hadapan UKM,” titah baginda.

Semua graduan, ahli akademik dan petugas yang berada di dalam Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) disediakan pelitup muka dan harus mengekalkan pemakaiannya sepanjang masa termasuk ketika mengambil skrol di atas pentas.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, keputusan untuk mengadakan Majlis Konvokesyen UKM ke-48 telah dipersetujui dalam satu mesyuarat khas.

Dalam ucapannya, Mohd. Ekhwan menegaskan kepada semua bahawa wabak Covid-19 masih wujud antara kita dan perlu dihentikan penularannya.

“Kita masih belum menang, inilah gambaran yang sering berlegar di seluruh pelusuk negara. Pandemik Covid-19 memaksa kita belajar hidup dengannya.

“Dalam kita meraikan para graduan di majlis keramat ini, jangan dilupakan bahawa kita jaga kita,” pesannya.

Sementara itu, sidang pertama Majlis Konvokesyen UKM itu menjadi sejarah apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam).

Ketika ditemui media, beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP dan masa yang diambil oleh pihak UKM dalam menjalankan majlis konvokesyen tersebut.

Menurut beliau, majlis itu boleh dijadikan contoh kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain.

“Saya mendoakan sidang-sidang seterusnya juga akan berjalan dengan lancar dan UKM meneruskan pematuhan SOP yang ketat seperti sidang pada hari ini,” katanya.

Dectar boleh memuatkan sehingga 4,000 individu namun bagi mematuhi SOP, pihak pengurusan UKM membenarkan kurang daripada 1,000 individu memenuhi ruang dewan tersebut iaitu hanya 25 peratus daripada kapasiti sebenar.

Semua graduan dan urus setia perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan sebelum dibenarkan hadir ke majlis konvokesyen.

Mereka yang suhunya melebihi 37.5 darjah Celsius dan bergejala akan dirujuk kepada Pusat Kesihatan Universiti untuk penilaian risiko sebelum dibenarkan meneruskan konvokesyen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya