Tun M dakwa PM beri maklumat salah hingga rakyat marah pada istana - Utusan Malaysia

Tun M dakwa PM beri maklumat salah hingga rakyat marah pada istana

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menyampaikan maklumat tidak lengkap kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang membawa kepada pengisytiharan darurat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, ini menyebabkan istana menjadi sasaran kemarahan rakyat akibat daripada tindakan kerajaan yang tidak memberi maklumat mencukupi kepada Seri Paduka.

“Agak ramai orang Melayu marah sekarang, kerana mereka menderita akibat darurat ini. Kita dapat ikuti dalam media sosial.

“Orang Melayu biasa tak derhaka pada raja. Tapi sekarang ni terpaksa sampaikan pada setiausaha sulit (kepada Yang di-Pertuan Agong) bahawa orang Melayu mula rasa marah pada raja.

“Ini sangat tidak biasa untuk orang Melayu menentang pemerintah kami. Segalanya diletak di bahu Agong (seolah-olah) apa jua tindakan dikatakan atas arahan Agong,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, di hadapan pintu pagar Istana Negara hari ini.

Yang hadir sama pengerusi jawatan kuasa itu merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu,

Mereka memohon menghadap Seri Paduka bagi memperkenan penamatan darurat.

Jawatan kuasa tersebut mula dilancarkan pada 12 Mac lalu yang dianggotai seramai 23 ahli politik pembangkang antaranya Senator Datuk Marzuki Yahya (Pejuang); Ahli Parlimen Sepang, Mohammad Hanipa Maidin (Amanah); Senator, Aiman Athirah Sabu (Amanah), Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan); Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (DAP); Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PKR); Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (PKR); Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah (PKR) dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (PKR).

Pada 12 Januari lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN