Selesai dahulu harga ayam di peringkat ladang - Utusan Malaysia

Selesai dahulu harga ayam di peringkat ladang

SALAH seorang penjual ayam melayani para pelanggan di Pasar Kuala Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para peniaga ayam memohon kerajaan menyelesaikan terlebih dahulu masalah kenaikan harga ayam di peringkat ladang sebelum pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 dapat dijalankan dengan betul.

Tinjauan di pasar Kuala Perlis mendapati, rata-rata peniaga bimbang SHMMP 2021 yang akan berkuat kuasa esok hingga 20 Mei ini bakal memberi tekanan kepada mereka akibat harga ayam dari pembekal yang tinggi, namun, perlu dijual pada harga rendah.

Peniaga ayam, Madihah Mansor, 50, berkata, untuk bulan ini sahaja, sudah lima kali harga ayam dinaikkan daripada pembekal iaitu sekitar 30 sen setiap kali sehingga mereka terpaksa menjual pada harga RM9 sekilogram ketika ini.

Katanya, rata-rata peniaga di pasar itu, mengambil ayam hidup dan memprosesnya sendiri yang pastinya memakan kos seperti gas serta elektrik.

“Macam mana kami nak jual pada harga kawalan RM7.90 jika harga ayam yang kami peroleh pun sudah tinggi. Kami berniaga ada kos juga nak bayar gaji pekerja lagi dan kenalah ada untung juga.

“Sebaiknya, pihak berkaitan dapat mencari punca harga naik iaitu dari ladang penternakan ayam. Dari sana mungkin dapat kenal pasti apakah sebab kenaikan harga ayam ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam, Azman Wan Hamad, 42, pula berkata, peniaga tidak mempunyai mempunyai masalah untuk menurunkan harga jika harga dari pembekal juga rendah.

“Bila ladang jual harga tinggi kepada pembekal, mereka juga akan jual dengan harga tinggi pada kami. Jadi bagaimana kami nak menjual pada harga runcit yang rendah pada pelanggan.

“Harga kawalan pun mula lebih awal tahun ini, biasanya seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri baru mula. Sekarang ini, kena pula pada masa harga ayam tengah naik,” ujarnya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan SHMMP 2021 berkuat kuasa bermula esok hingga 20 Mei ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri pada 13 Mei ini.

Skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan melibatkan sebanyak 12 jenis barangan, manakala kategori barangan harga terkawal pula terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Di bawah skim ini, harga ayam standard perlu dijual pada harga tidak melebihi RM7.90 untuk runcit manakala RM7.10 bagi harga borong. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya