MUKADIMAH
SELEPAS lapan tahun menjadi Menteri Besar, DATUK SERI AZLAN MAN akhirnya diberi tanggungjawab mengetuai UMNO negeri menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang disandang sejak lebih 20 tahun.
Meskipun ada yang membantah, namun pelantikan Azlan dilihat bakal membawa lembaran baharu kepada politik di Perlis selepas sekian lama UMNO negeri berada di bawah kepemimpinan Shahidan yang juga bekas Menteri Besar dari 1995-2008.
Azlan juga kelihatan tenang berdepan bantahan keras UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar selain percaya mampu menyatupadukan kembali UMNO negeri di bawah satu nakhoda.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dalam satu majlis berbuka puasa bersama kepemimpinan UMNO cawangandi Dewan Residensi kediaman rasmi Menteri Besar semalam, Azlan menjawab pelbagai soalan berbangkit berhubung pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.
UTUSAN: UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar menolak pelantikan Datuk Seri sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis?
AZLAN: UMNO Bahagian Arau, Padang Besar menolak, kita tengok pada konteks iaitu yang dilihat tidak dapat menerima keputusan ini (pelantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri) ialah ketuanya yang tidak menggambarkan keadaan sebenar di bahagian. Saya yakin keadaan akan lebih tenang selepas ini. Pada masa ini, mungkin ada individu tertentu agak panas sikit. Kita ambil masa dan saya akan mencari jalan terbaik supaya kita dapat bersama-sama dalam satu barisan.
Ramai yang mempersoal kemampuan Datuk Seri mengetuai UMNO Perlis selepas Bahagian Kangar sendiri tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14?
Persepsi itu cuba dibawa kononnya UMNO Bahagian Kangar gagal selepas kehilangan tiga kerusi dalam PRU-14. Saya sudah buat analisis dan terangkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi data undi pada PRU-14. Analisis secara lengkap yang dilakukan itu bukan sahaja di peringkat Parlimen, malah di peringkat DUN, Peti Daerah Mengundi (PDM) dan kampung-kampung. Memang jelas ketika itu, dua faktor utama menyebabkan UMNO kehilangan kerusi adalah apabila berlaku tsunami politik iaitu bukan Melayu dan golongan muda tidak mengundi Barisan Nasional (BN). Mereka memilih Pakatan Harapan (PH). Selain itu, kita juga dapati undi Melayu berpecah kepada PH, BN dan Pas. Kekalahan itu bukan disebabkan kelemahan UMNO Bahagian Kangar. Selain itu perlu diingat, Kangar adalah kawasan bandar. Tiga DUN yang kita kalah iaitu Indera Kayangan, Sena dan Kuala Perlis adalah dalam kawasan bandar. Kawasan pinggir bandar seperti Bintong dan Kayang kita menang. Data-data ini perlu dilihat.
Adakah Datuk Seri sedia bekerjasama dengan Shahidan?
Saya menghormati Shahidan sebagai seorang pemimpin lebih lama daripada saya selain lama mengetuai UMNO dan kerajaan negeri ini. Saya mengambil pendekatan dan sikap terbuka malah tidak ada masalah untuk bekerjasama. Malah selama ini juga saya tidak pernah mengkritik sesiapa pun atau membalas kritikan-kritikan pedas kepada saya. Mana-mana kritikan saya ambil secara positif.
Adakah Datuk Seri akan melakukan rombakan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri dalam waktu terdekat ini?
Masih terlalu awal untuk melakukan rombakan dalam Badan Perhubungan ini. Kita ada banyak masa. Mana tahu andai ditakdirkan Allah SWT keadaan menjadi lebih baik selepas ini.
Datuk Seri sedia memberi peluang kepada muka-muka baharu yang berpotensi di dalam kepemimpinan?
Saya sejak awal memberi peluang seluas-seluasnya kepada golongan muda untuk didedahkan dengan pengetahuan pengalaman bagi mewarisi kerajaan negeri. Saya juga memberi peluang kepada golongan muda terlibat secara aktif memegang jawatan-jawatan penting dalam parti dan kerajaan. Di Kangar sebelum ini, saya cadangkan calon dalam kalangan Pemuda bertanding dalam PRU-14. Kita akan ketengahkan lebih banyak muka baharu yang berkebolehan memegang jawatan-jawatan penting di dalam pentadbiran selain dalam PRU-15 kita tonjolkan muka-muka baharu yang berpotensi. -UTUSAN










