PPZ-MAIWP santuni 40 peniaga, 20 keluarga asnaf - Utusan Malaysia

PPZ-MAIWP santuni 40 peniaga, 20 keluarga asnaf

ABDUL Hakim Amir Osman menyerahkan sumbangan kepada penerima asnaf dalam Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyantuni seramai 40 peniaga dan 20 keluarga asnaf dalam Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP Siri Satu sempena ketibaan bulan Ramadan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, Ramadan adalah masanya untuk melakukan kebaikan kerana kemuliaannya itu.

“Ramadan adalah satu bulan mulia yang mana Allah SWT menjanjikan gandaan pahala kepada mereka yang melakukan kebaikan.

“Saya ingin menyeru semua masyarakat Islam untuk segera menunaikan zakat fitrah dan harta bagi merebut pahala berganda di bulan Ramadan,” katanya dalam majlis di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong, di sini semalam.

Program itu dijalankan sebagai inisiatif PPZ-MAIWP dalam usaha kempen Ramadan organisasinya yang membawa tema Syukuri Nikmat Bersama.

Sumbangan disampaikan PPZ-MAIWP bersama AXA Affin General Insurans Berhad adalah tajaan 40 khemah untuk para peniaga asnaf.

Turut disampaikan sumbangan berupa wang tunai dan beras kepada 20 keluarga asnaf bagi membantu meringankan beban mereka terutama dalam menyambut Ramadan dengan jumlah keseluruhan RM12,000.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Hamidah Sariman, 60, bersyukur dan terharu apabila mendapat bantuan tersebut.

Katanya, seorang daripada anaknya terlibat dalam kemalangan tujuh bulan lalu dan memerlukan kos besar bagi menampung perubatan dan pembedahannya.

“Dengan bantuan ini, dapat jugalah meringankan beban dalam bulan puasa ini. Tambahan, saya tidak lagi bekerja dengan kadangkala sahaja mengambil upah jahit,” kata ibu kepada lima anak itu.

Zakaria Abdul Hamid, 83, turut menzahirkan penghargaan kepada PPZ-MAIWP yang bersifat menyeluruh dalam menyampaikan bantuan.

“Saya terharu kerana walaupun sudah berusia 83 tahun tetapi masih dapat menerima bantuan ini. PPZ-MAIWP telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya