KOTA BHARU: Jangkitan Covid-19 yang melonjak di negeri ini hingga mencecah 429 kes kelmarin diakui menjejaskan moral dan semangat para petugas barisan hadapan di sini.
Peningkatan kes tersebut bermakna kakitangan kesihatan yang selama ini bertugas tanpa rehat yang ‘sebenar’ sejak setahun lalu, perlu bekerja lebih keras ‘melawan’ pandemik itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang petugas di salah sebuah klinik awam di bandar ini memberitahu, rata-rata warga kesihatan mula kepenatan, baik dari segi mental mahupun fizikal.
“Sejak hari pertama Ramadan, saya sayu melihat sahabat seperjuangan ‘lembik’ apabila terpaksa mengambil beratus-ratus calitan di bawah khemah dalam keadaan cuaca panas terik setiap hari.
“Apabila kes meningkat, ujian calitan juga bertambah dari hari ke hari sehingga tidak ada masa rehat biarpun ketika Ramadan. Sudahlah terpaksa pakai peralatan perlindungan diri (PPE) setiap masa biarpun panas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Angka positif Covid-19 di Kelantan melonjak tinggi sejak dua minggu lalu menyebabkan tujuh daerah di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Jumaat lalu hingga 29 April depan.
Berdasarkan statistik kes harian terbaharu semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 370 kes positif Covid-19, iaitu di kedudukan ketiga tertinggi di belakang Selangor dengan 526 kes dan Sarawak 429 kes.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negeri ini pula 1.43, tertinggi berbanding negeri-negeri lain di samping melepasi peringkat nasional, 1.19.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sedia ada kebanyakannya sudah hampir mencapai 100 peratus penggunaan katil pesakit.
Katanya, kadar penggunaan katil di Hospital Tumpat sudah melebihi 113.4 peratus manakala Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai 100 peratus.
PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (97.5 peratus), PKRC Jubli Perak (96.7 peratus), Hospital Jeli (95.8 peratus), Hospital Machang (87.5 peratus), Asrama Hospital Pasir Mas (85.7 peratus, Hospital Raja Perempuan Zainab II (81.0 peratus) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (83.3).
Mengulas lanjut perkembangan terkini pandemik di Kelantan itu, pegawai tersebut berkongsi rasa kecewa terhadap sikap segelintir orang ramai yang sudah mula mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seolah-olah Covid-19 sudah berakhir.
“Covid-19 ini ibarat minggu orientasi zaman belajar dulu. Hampir setiap malam kena denda kerana seorang buat silap, semua kena. Jika kita sahaja yang mematuhi SOP, orang lain tidak, apa gunanya?
“Maaf cakap, kami warga kesihatan sudah letih mental dan fizikal. Kerja macam ‘kuba rabik’ (sangat teruk),” katanya. – UTUSAN ONLINE










