Peniaga daging tersepit, terpaksa jual harga lama - Utusan Malaysia

Peniaga daging tersepit, terpaksa jual harga lama

PENIAGA, Mohd. Nadzri Ahmad mengambil daging lembu untuk dipotong sebelum dijual kepada pelanggan di Pasar Awam Larkin Sentral di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rata-rata peniaga daging lembu tempatan dan sejuk beku import masih menjual mengikut harga lama dan tidak mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang dikuatkuasakan semalam.

Menurut peniaga, Muhammad Lukman Ibrahim, 32, mereka terpaksa berbuat demikian dengan menjual pada harga RM40 sekilogram kerana harga yang dijual oleh pembekal terlalu tinggi iaitu mencecah RM38.

Harga jualan itu lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam SHMMP 2021 iaitu RM34 sekilogram bagi daging lembu tempatan.

“Macam mana kami nak ikut harga yang ditetapkan pihak kementerian sedangkan harga yang dijual oleh pihak pembekal adalah lebih tinggi daripada harga yang disenaraikan dalam SHMMP 2021.

“Kalau kami ikut harga yang ditetapkan, kami akan rugi. Kami perlu mengambil kira tentang bayaran sewa, gaji pekerja serta kos-kos yang lain,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin Sentral, di sini semalam.

Muhammad Lukman berkata, mereka hanya dapat mengikut harga siling yang ditetapkan pihak kerajaan sekiranya pihak pembekal menurunkan harga jualan mereka.

“Ini tidak, harga naik mendadak sejak awal tahun lalu setiap minggu. Ini jadi buat masalah buat peniaga seperti kami, pembeli akan kata harga daging lembu tempatan mahal tapi kami tidak ada pilihan lain.

“Kami amat berharap pihak kerajaan campur tangan dan pantau harga yang ditetapkan pihak pembekal. Kalau pembekal dapat turunkan harga, baru kami dapat jual mengikut harga siling.

“Disebabkan musim perayaan, mereka sanggup buat begitu (naik harga) kerana tahu permintaan tinggi untuk menyambut hari raya. Jangan tahu minta peniaga sahaja kawal harga tapi pihak pembekal bebas jual ikut harga mereka,” ujarnya.

Pendapat sama turut disokong seorang lagi peniaga, Mohd. Nadzri Ahmad, 41, yang menegaskan mereka bukan sengaja tidak mengikut harga siling ditetapkan tetapi harga itu lebih rendah daripada harga yang dijual oleh pembekal.

Katanya, keadaan turut sama berlaku bagi daging sejuk beku import yang dijual pada harga tinggi hingga mendesak peniaga untuk turut menaikkan harga jualan.

“Memang mereka jual daging sejuk beku rendah daripada harga borong yang ditetapkan pada kadar RM18, bezanya hanya berapa puluh sen sahaja iaitu lebih RM17 sekilogram.

“Apabila daging sejuk beku itu sudah menjadi keadaan biasa dan sudah ‘tow’ darah dan ais, beratnya juga berkurangan. Di situ sahaja kami sudah rugi. Jadi, macam mana kami hendak menjual pada harga siling RM20 sekilogram? Tak kan kami meniaga nak rugi, jadi terpaksa jual RM24 sekilogram,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, mereka boleh berjimat sekiranya membeli daging seekor lembu, namun perkara itu adalah mustahil kerana melibatkan kos tinggi dan tidak berkemampuan.

“Tak mampulah bagi kami untuk membeli seekor lembu, yang kami mampu hanya beli daging sebanyak 10 kilogram sahaja sehari pada harga RM37 hingga RM38, melebihi harga siling iaitu RM34,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya