fbpx

24 September 2021, 10:13 am

  TERKINI

Pengurusan 317 tanah rancangan Felda perlu seragam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kesemua 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara termasuk di Sabah perlu diseragamkan di bawah satu pengurusan iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, beliau tidak tahu di mana silapnya kerana ketika ini tanah rancangan di negara ini terbahagi dua iaitu di bawah JKKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

“Sepatutnya, untuk kemajuan menyeluruh tanah rancangan Felda, kesemua 317 tanah rancangan di seluruh negara perlu bersatu di bawah JKKK.

“Tidak boleh ada dua badan yang mengawal pengurusan di tanah rancangan. Jika menerusi JKKK ia lebih baik kerana bantuan memajukan kawasan kampung datang dari dua sudut iaitu kerajaan negeri dan juga Felda,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, agensi berkenaan akan mewujudkan kembali JKKR di semua 317 tanah rancangan 11 Wilayah Felda di seluruh negara dalam masa terdekat.

Keputusan itu menyaksikan terdapat tanah rancangan Felda akan mempunyai sehingga tiga pentadbir peringkat tanah rancangan termasuklah JKKK serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Idris berkata, penubuhan semula JKKR akan menjadi penghubung antara Felda pusat dengan tanah-tanah rancangan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, penyeragaman dan penyatuan 317 tanah rancangan Felda di bawah satu pengurusan iaitu JKKK penting bagi memastikan aspek pentadbiran peringkat kampung berjalan lancar.

Jelasnya, biarlah hanya JKKK memainkan peranan sebagai agen perubahan di peringkat akar umbi untuk berfungsi sebagai perantara dalam proses perkongsian maklumat antara kerajaan dan penduduk kampung.

“Ia juga sebagai pemangkin, pembangunan dan pentadbir kampung bagi mengukuhkan permuafakatan dalam kalangan penduduk dan mewujudkan suasana kerjasama yang harmoni dengan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, pihak kerajaan negeri dan Felda perlu berbincang untuk mewujudkan polisi dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan JKKK dilaksanakan secara menyeluruh dan 100 peratus di seluruh negara. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI