Pemberi rasuah juga perlu dihukum - Utusan Malaysia

Pemberi rasuah juga perlu dihukum

Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah saran pemberi rasuah juga perlu didakwa dan dihukum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelemahan aspek siasatan antara faktor yang menyebabkan hanya penerima rasuah disiasat dan dihadapkan ke mahkamah manakala pemberi rasuah terlepas begitu sahaja.

Rasuah yang berleluasa dan `hidup’ dalam masyarakat sebenarnya berpunca daripada pemberi.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadang menukar cara siasatan agar pemberi dan penerima sama-sama menerima balasan akibat perbuatan jenayah mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah berkata, ini kerana dalam siasatan sekarang, pemberi rasuah akan berperanan sebagai sumber maklumat utama kes dan sering dilantik sebagai saksi penting perbicaraan.

Menurut beliau, pemberi dan penerima sebenarnya juga pelaku rasuah, bukannya membabitkan satu pihak sahaja.

“Kebanyakan siasatan SPRM sekarang menjadikan pemberi rasuah sebagai saksi bagi memudahkan siasatan dan kemudian kes dituduh di mahkamah.

“Bagi mengelakkan pemberi rasuah melarikan diri dan enggan memberikan kerjasama, mereka akhirnya terselamat daripada menjadi suspek dan orang kena tuduh (OKT),” katanya.

Mohd. Haaziq memberitahu, undang-undang sedia ada iaitu Akta SPRM 2009 dilihat sudah memadai kerana memperuntukkan kesalahan dan hukuman tegas membabitkan pemberi dan penerima rasuah.

“SPRM hanya perlu ubah cara siasatan dengan turut memfokuskan pemberi dan bukan hanya penerima,” katanya.

Seorang lagi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali pula menjelaskan, Akta SPRM 2009 sudah cukup tegas kerana ia merangkumi aspek penalti kesalahan membabitkan pemberi dan penerima.

Bagaimanapun, kata beliau, aspek pendidikan dan kesedaran penting sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya amalan rasuah di semua peringkat.

“Aspek pendidikan wajar bermula daripada bangku sekolah sehinggalah ke menara gading. Jika ini berjaya, maka orang ramai sedar dan jijik dengan budaya rasuah.

“Jika bermula daripada peringkat awal tiada menyogok atau tawar-menawar, maka sudah pasti tiada berlakunya gejala tidak bermoral ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN