Patuhi SHMMP atau dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Patuhi SHMMP atau dikenakan tindakan

AZIZAN Sulaiman (dua dari kiri) bersama Norazah Jaapar melakukan pemeriksaan dan tinjauan SHMMP 2021 di Pasar Raya Besar Giant, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Peniaga di negeri ini diberi ingatan supaya mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan.

Pengarahnya  Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri , Norazah Jaapar menegaskan, tindakan akan diambil terhadap para peniaga yang gagal mematuhi harga yang telah ditetapkan di dalam skim kawalan tersebut.

Dalam masa sama, katanya, pemantauan dan penguat kuasaan akan diadakan berterusan bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga barangan.

“Sekiranya mana-mana peniaga tidak mengikut harga kawalan yang ditetapkan mereka akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan dan tinjauan SHMMP 2021 di Pasar Raya Besar Giant di sini hari ini. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatan kuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil negeri, Azizan Sulaiman.

Tambah Norazah, setakat ini, belum ada aduan membabitkan para peniaga di negeri ini yang menaikkan harga barangan yang telah ditetapkan melalui SHMMP 2021.

“Kita juga menasihati peniaga agar mematuhi harga kawalan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan sejak semalam mendapati tiada lagi peniaga yang merungut mengenai pelaksanaan SHMMP 2021.

“Mungkin jika ada rungutan hanya di media sosial sahaja tetapi tiada laporan rasmi yang dibuat. Jika ada laporan, kita akan menyiasat dan membawa perkara itu kepada kementerian di peringkat pusat untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pasar di sini mendapati para peniaga mematuhi harga yang ditetapkan melalui SHMMP itu dengan ayam khususnya dijual pada harga RM7.90 sekilogram.

Begitu juga bagi harga barangan lain seperti daging, ikan kembung, ikan selayang dan beberapa lagi keperluan lain yang dijual mengikut skim ditetapkan itu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN