Melaka sediakan air minuman percuma di kawasan pelancongan - Utusan Malaysia

Melaka sediakan air minuman percuma di kawasan pelancongan

ZAINAL Abu mencuba mesin air minuman terawat percuma di hadapan bangunan Stadthuys, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para pelancong di sekitar Bandaraya Melaka kini boleh memanfaatkan kemudahan mesin air minuman terawat percuma yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandarnya, Datuk Zainal Abu berkata, antara lokasi yang terlibat adalah di hadapan bangunan Stadthuys, Taman Warisan Dunia Jonker Walk, Masjid Kampung Hulu dan Tokong Bukit Cina.

Beliau berkata, kemudahan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat antara MBMB dengan Syarikat Alpine Vector (M) Sdn. Bhd. (Alpine Vector) menerusi kontrak perjanjian selama lima tahun.

“MBMB dengan kerjasama Alpine Vector telah bersetuju untuk meletakkan empat mesin minuman air terawat yang boleh dimanfaatkan oleh semua pengunjung atau pelancong secara percuma.

“Pelancong boleh mengambil air minuman ini menggunakan botol minuman masing-masing pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di hadapan bangunan Stadthuys di sini, hari ini.

Tambahnya, penyediaan mesin perkhidmatan itu telah menelan belanja sebanyak RM31,200 dan kos bil air akan ditanggung oleh pihak kerajaan negeri sepanjang tempoh kontrak.

“Mesin ini menggunakan penapis air dalaman sedimen lima mikron yang berkualiti tinggi dilengkapi Everpure MC2 (NSF/ANSI Standard 42 dan 53).

“Ia turut dilindungi dengan insurans liabiliti awam dan akan diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan iaitu setiap 10 hari bagi memastikan kualiti air terjamin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal menambah, pihaknya akan sentiasa menambaik baik perkhidmatan mesin tersebut bagi mencapai matlamat memberi kemudahan kepada pengunjung dan pada masa sama mempromosikan kehidupan mesra alam semulajadi.

“Pada awal perkhidmatan ini, mungkin kita akan sediakan juga cawan kertas atau kaedah lain yang sesuai untuk memastikan pengguna tidak perlu menggunakan botol plastik atau cawan plastik semata-mata untuk mengambil air minuman percuma ini.

“Lama-kelamaan nanti, pengunjung tahulah untuk bawa bekas air kaca bagi mengambil air. Kalau mesin ini membawa impak positif, kita akan perluaskan perkhidmatan ini melibatkan kawasan di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya